Selasa, 7 November 2017

Konvokesyen UiTM ke-87 - Officially Graduate!!!

Konvokesyen UiTM ke-87 sudah beberapa minggu berlalu. Tapi tak sempat nak update apa-apa. Sibuk apa entah. Tapi yang pasti balik dari konvo tu terus demam seminggu.

Alhamdulillah...akhirnya aku dah berjaya tamatkan degree aku. Selepas pelbagai cabaran dan dugaan akhirnya berakhir juga. Sepanjang 4 tahun macam-macam rasa. Kadang-kadang tu rasa give up pun ada. Tapi berkat cekalkan hati dan bantuan dari semua orang, wujud la hari ni. Hari konvoksyen buat aku.

Okay. Tujuan entry ni sebenarnya untuk cerita serba sedikit perjalanan konvokesyen aku. Mungkin boleh jadi panduan yang berguna untuk korang.

Sebelum Konvokesyen

Sebelum konvo tu rajin-rajin la usha website 'Konvokesyen UiTM'. Kat sana boleh dapat tau semua tarikh-tarikh berkaitan konvo.

Sebelum hari konvokesyen, ada beberapa benda yang korang kena selesaikan;

1. Bayar yuran konvo
Bayar yuran ni boleh buat kat mana-mana kaunter Bank Islam atau ATM Bank Islam. Bayar melalui online banking pun boleh tapi kena ada Bank Islam online banking. Kalau tak ada kena bayar kat kaunter atau ATM la. Proses nak bayar kat ATM senang je. Macam kita bayar yuran setiap sem.

Boleh cek no.bil kat student portal untuk pastikan bayar bil yang sama. Kalau ada denda ke apa kena bayar ye sebab kalau ada tungakkan tak boleh konvo. Walau denda perpustakaan 20sen pun kena bayar..hehe..kawan aku kena yang ni sebab lambat hantar buku. Tapi aku tak pasti la kena bayar kat mana sama ada keluar bil kat student portal atau kena bayar terus kat Bendahari UiTM.

Oh ye, kalau korang tak hadir konvo pun yuran tu tetap kena bayar. Kalau tak, nanti tak boleh dapat transkrip dan skrol.

P/s: Bagi calon konvo UiTM yang ada kat kawasan Lawas atau Sipitang, tempat paling dekat kita boleh bayar thru ATM Bank Islam kat Bangunan Tabung Haji Beaufort. Maklum la Bank Islam susah nak dapat. Kat sana ada CDM dan ATM je. Tak ada kaunter. Tapi kalau yang dah ada Bank Islam online banking boleh bayar terus online.

2. Buat Pengesahan Kehadiran
Pengesahan kehadiran ni pun perlu. Untuk conform kan kita hadir ke tak hari konvo tu. Boleh buat kat website konvo UiTM. masuk ke 'Istiadat Konvokesyen ke-..' dan klik 'Tentatif Konvokesyen ke-..' lepastu masukkan no. Pelajar dan no. i.c. kat sini boleh dapat sekali Borang Pinjaman Jubah dan Bil Bendahari.

Tapi pengesahan kehadiran ni tak perlu risau sebab tarikh tutup tu lama.

3. Kajian Pengesanan Graduan
Kajian pengesanan graduan ni perlu di isi sebelum ambil jubah. Nak isi tak lama pun dalam 20 minit je. Ada beberapa maklumat kena cek dan beberapa soalan kena lengkapkan.

Slip Pengesahan Kajian akan dapat setelah selesai hantar Kajian Pengesanan Graduan, ni kena simpan ye. Slip tu nanti kena bawa masa ambil jubah.

4. Cetak Maklumat Pengambilan Jubah
Benda ni kena bawa semasa ambil jubah. Ada 3 benda yang kena cetak;
 • Borang pinjaman jubah
 • Bil bayaran konvo/bil bendahari
 • Slip Pengesahan Kajian

Aku hari tu tak boleh nak pergi sendiri masa ambil jubah jadi aku wakilkan kawan aku untuk ambil. Sebab tarikh ambil jubah 8/10/17 tarikh konvo aku pula Sidang ke-8 19/10/17. Jarak masa tu lama sangat takkan aku kena ada kat Shah Alam sampai dekat 2 minggu kan.

Jadi aku cuma download 3 benda tu, save PDF dan hantar melalui email kat kawan aku. Nanti dia tinggal cetak je.

Semua tu boleh dapat kat website konvokesyen UiTM. Kena selongkar la website tu ye.

Selesai dapat jubah dah boleh relaks. Tunggu je hari konvo.

Semasa Konvokesyen

Masa konvo kena datang awal ye. 7.30 pagi dah kena ada kat sana. Sebab takut nanti tak jumpa laluan masuk ke, tak jumpa kengkawan ke..hehe..tapi phone kan ada. Orang ramai takut serabut je.

Konvo ke-87 kat Shah Alam ni jalan tak ada la jem sebab kebetulan masa cuti mid sem. Jalan clear je dari Nilai ke Seksyen 7. Parking pun tip top kat tempat parking bertingkat DATC tu. Aku sampai dalam 7.20 pagi. Datang dengan 2 buah kereta. Maksudnya stiker kat sebuah kereta je la kan. Tapi boleh je masuk..hehe..parking banyak.

Bila naik nak masuk barisan graduan aku jadi blur. Tak tau nak pergi mana. First time kan masuk situ. Ambil jubah pun orang lain ambilkan. Jadi kena ingat la no. giliran konvo. Aku dapat A360. Jadi aku kena naik lalu laluan A. Ada dua laluan sebenarnya A dan B.

Dah tu cari la kengkawan korang berdasarkan nombor yang korang dapat. Kalau tak jumpa tanya la kat sesiapa yang bertugas tu. Lepastu nanti akan ada petugas yang akan bagi korang kad no. giliran. Bawa la kad tu masa masuk dewan dan masa nak naik pentas sebab nanti dorang akan minta korang tunjuk kad tu.

Selesai set up semua perarakan masuk graduan bermula jam 9 lebih macam tu. Lambat kan. Tapi sekali lagi jangan sampai lambat nanti tak dapat masuk dewan. Tetamu/ibu bapa pun jangan sampai lambat nanti susah nak dapat tempat duduk..mak abah aku dapat tempat duduk kat aras 3. Kesian dorang kena naik tangga. Huhu.. Majlis tu tak lama pun. Dalam jam 11 lebih dah habis.

Majlis berjalan lancar sampai la kepenghujungnya. Semuanya teratur. Petugas pun baik dan mesra. Tempat parking pun tak panas macam dulu. Kalau dulu kat padang kawad. Aku dah risau sebab aku bawa nenek datang sekali. Kesian nanti kalau dia kena naik dari padang kawad tu ke DATC. Tak bagi dia ikut pun tak sampai hati sebab dia yang beria nak datang.

Cuma gerai jualan konvo ni tak meriah macam dulu-dulu. Mungkin sebab tempat terhad. Dulu kat kawasan lapang depan DATC ada macam-macam jualan, sekarang ni kat atas parking bertingkat DATC tu je. Tapi okay la. Ada meja makan. Tak panas. Kat depan dewan tu pun ada kanopi besar disediakan untuk tetamu.

Selepas Konvokesyen

Lepas konvo dah siap posing ambil gambar semua boleh la hantar jubah. Aku hantar sehari selepas konvo. Tapi kena bayar denda RM2 la sebab lewat sehari. Aku tak sempat nak ambil gambar lagi. Esoknya hantar jubah kat bilik jubah aras 1 DATC. Disebabkan aku hantar jubah hari jumaat dan hari tu tak ada sidang jadi DATC pun lengang la tak ramai orang. Ada pun yang nak hantar jubah je. Parking nak hantar jubah kat parking bertingkat DATC tu juga. Sebaiknya naik lif terus ke aras 1. Kalau naik tangga susah nak cari. Haha..aku naik tangga, naik setingkat kenapa tak sampai-sampai lagi ni. Naik lagi tak sampai juga. Tempatnya sama je dengan tempat nak ambil jubah tapi sebab bukan aku yang ambil jubah jadi tak tau.hehe..

Bila dah hantar jubah baru la boleh dapat skrol dan transkrip.

Selepas hantar jubah pergi pula ambil gambar yang kat pentas tu. Ambil gambar tu kat studio foto FSSR. Kedai kat depan kolej Seroja. Sekejap je. Bagi je borang pink yang korang dapat selepas turun dari pentas masa hari konvo tu. Jangan tertukar tau borang tu dengan orang lain sebab borang tu ada no. siri. Nanti dapat gambar orang lain pula.

Dah tu settle!!!

Berakhir la proses konvokesyen ke-87 UiTM Shah Alam..

Officially i'm graduate!!!



Selasa, 21 Februari 2017

Sarawak..kemajuan setakat mana?

Sudah beberapa kali ingin menulis berkenaan tajuk ni. Tapi beberapa kali tu juga lari dari tajuk asal dan akhirnya masuk tong sampah.

Entry ini sebenarnya nak cerita setakat mana kemajuan yang dimiliki Sarawak untuk pengetahuan penduduk yang tinggal di semenanjung. Mungkin boleh memperjelaskan sedikit berkenaan kehidupan di Sarawak.

Bukan apa, sepanjang belajar di semenanjung, banyak soalan-soalan yang di terima dari mereka yang tidak pernah datang ke Sarawak dan mereka cuma mendapat maklumat dari media. Kalau cuma melihat di media masa dan media sosial jangan berfikir sudah tahu atau faham semua berkenaan Sarawak.

Apa yang diperolehi dari tv atau facebook antaranya adalah penduduk Sarawak masih pakai cawat, pengangkutan utama Sarawak adalah sungai dengan menggunakan bot atau perahu, rumah di Sarawak semuanya rumah panjang, ada yang lagi ekstrem lagi kata penduduk Sarawak tinggal atas pokok..hemm

Pakaian

Okay nak jelaskan di sini pakaian cawat atau dikenali sebagai Kain Sirat itu merupakan pakaian tradisional dan kebanggaan kaum tertentu. Ia bukan pakaian yang mewakili semua kaum tapi ia dikenali kerana merupakan pakaian tradisional etnik terbesar di Sarawak.

Tetapi ia bukan merupakan pakaian harian. Mungkin kerana kesesuaian zaman. Oleh itu ia hanya boleh dilihat dalam persembahan di majlis tertentu.

Seorang pensyarah aku orang semenanjung ada cerita pengalaman dia semasa ke Sarawak " Saya pergi sampai ke pendalaman Kapit menaiki bot selama 3 jam sambil menjalankan survey dan saya teringin untuk melihat orang memakai cawat tapi saya langsung tak jumpa".

Jadi tak payah la nak tanya orang Sarawak pakai cawat lagi ke?

Pengangkutan

Seterusnya berkenaan dengan pengangkutan utama Sarawak. Mungkin dulu memang betul sungai merupakan pengangkutan utama. Semenanjung rasanya tidak terkecuali. Tapi pada masa kini pengangkutan utama Sarawak merupakan jalan raya. Pembinaan Pan Borneo bukan bermaksud baru ada jalan raya di Sarawak. Tapi ia merupakan penaiktarafan jalan. Pembinaan jalan yang lebih besar!

Aku pernah ditanya "pandai berenang ke?" Mula-mula blur tapi aku jawab juga "tak". Rupanya tu permulaan soalan dia untuk soalan seterusnya. "kalau balik, dari airport ke rumah naik apa". Aku mula faham. Aku jawab kereta. Dia tanya lagi "tak de lalu sungai, naik bot?".

Okay nak jelaskan di sini. Tak semua penduduk Sarawak perlu menggunakan bot, perahu, sampan, ekspress atau feri untuk pergi ke mana-mana! Biasanya tempat-tempat yang menggunakan bot atau perahu tu kawasan pendalaman yang sukar untuk capaian jalan raya. Tapi ada juga kawasan pendalaman yang dah ada jalan raya dan kadang-kadang penggunaan bot atau perahu ni untuk menyingkatkan tempoh perjalanan berbanding dengan menggunakan kenderaan.

Tapi tak dinafikan juga kemudahan jalan raya di Sarawak masih tidak menyeluruh. Ada kawasan pendalaman yang menggunakan jalan balak untuk keluar dan masuk dari kawasan mereka oleh kerana ketiadaan jalan yang boleh digunakan. Harapnya akan ada perubahan untuk masa depan penduduk di kawasan tersebut.

Jadi untuk persoalan pengangkutan utama, Sarawak ada jalan raya ye! Jangan la kata bila datang Sarawak "habislah kena tinggal dalam hutan, kena naik sampan".

Kediaman

Penduduk Sarawak tidak semuanya tinggal di rumah panjang. Rumah panjang cuma digunakan oleh etnik-etnik tertentu seperti Iban, Melanau, Orang Ulu, Bidayuh. Penduduk lain seperti Melayu, Cina, Kedayan, Lun Bawang tinggal di rumah-rumah biasa sama ada rumah kampung atau perumahan di kawasan bandar.

Kawasan kampung di Sarawak juga tidak jauh beza dengan kampung yang terdapat di semenanjung. Persekitaran yang hampir sama dan tidak ada penduduk Sarawak yang tinggal di atas pokok.

Rasanya untuk entry ni cukuplah aku menyentuh 3 perkara ni. Ini soalan yang selalu atau pernah ditanyakan pada aku.

Rujukan-

1. Pakaian
http://pakaiantradisional-malaysia.blogspot.my/2012/09/pakaian-masyarakat-etnik-sarawak.html?m=1

2. Rumah panjang https://www.google.com/amp/www.hmetro.com.my/node/197071/amp?client=ms-unknown


Isnin, 20 Februari 2017

Tamat sudah pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah

Akhirnya pengajian selama 4 tahun dalam sarjana muda perancangan dan wilayah di Uitm telah berakhir. 

Sedih sebenarnya tinggalkan zaman belajar. Hemm.. Kata-kata biasa. Sebab masa belajar dulu selalu kata tak sabarnya nak habis.

Pengajian selama 4 tahun rasanya terlalu lama bagi yang mengalami sendiri. Kesukaran setiap semester tu kadang-kadang buat rasa putus asa sangat tinggi. Tapi disebabkan pelaburan yang dibuat dah terlalu banyak, jadi terpaksa gagahkan diri.

Bukan nak takutkan sesiapa tapi kehidupan sebagai pelajar perancangan bandar dan wilayah sangat mencabar.

Tapi tak semuanya tak baik, suasana sebagai pelajar sangat mengujakan. Rindu dah datang.

Beberapa minggu lagi semester baru akan bermula. Buat junior yang dalam pengajian, selamat berjuang. Buat junior yang baru mendaftar masuk pula, selamat datang!!

Ahad, 15 Januari 2017

Dia Apai Besar Sarawak..Adenan Satem

Hari ke-6 Sarawak berkabung. Tapi baru semalam rasanya Tok Nan pergi. Rata-rata laman facebook masih bercakap mengenai kehilangan Tok Nan dan hampir kesemuanya buat anak Sarawak menitiskan air mata.

Ada beberapa individu yang menulis rasa sedih mereka atas kehilangan Tok Nan. Misalnya djsonic, page i love Sarawak, info Sarawak, apa yang ditulis buat siapa sahaja yang diperantauan ni rasa sebak. Walaupun kami bukan berada di tanah bumi kenyalang tapi hati kami, jiwa kami tetap merasakan kehilangan.

Ini beberapa tanda penghargaan dan ingatan anak Sarawak akan Tok Nan..










Rasa teruja yang hadir untuk kepulangan Faiz Subri dari Zurich selepas menang dalam Puskas Award 2016  pada hari yang sama bagaikan tenggelam akan kesedihan atas pemergian Tok Nan.

Mungkin belum terlambat untuk ucapan TAHNIAH buat Faiz Subri..Moga anak Malaysia akan lebih terinspirasi akan kejayaan beliau.

Khamis, 12 Januari 2017

Adenan Satem..hero dalam kenangan..

Al-fatihah terlebih dahulu buat seorang ketua menteri yang sangat disanjungi oleh rakyat Sarawak, Tan Sri Dr Haji Adenan bin Satem. Kepergian beliau pada tarikh 11.01.2017 betul-betul telah menyentap hati seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira kaum atau agama.

Pada mula mendapat berita kehilangan arwah menerusi aplikasi whatsapp, cuma menganggapnya sebagai satu gurauan media sosial. Mungkin sama seperti tularnya pelbagai isu tidak sahih sebelum ini. Tetapi bila laman sesawang facebook di buka, ucapan pilu dan takziah memenuhi halaman facebook. Di tambah pula bila 'page-page' Sarawak mula memaklumkan kesahihan berita. Tersentap rasa hati. Sedih, sayu sampai mengalir air mata. Sampaikan hari ini masih tidak percaya, dia seorang pemimpin yang sangat dekat dihati rakyat telah meninggalkan kami.

Perginya saat seluruh Sarawak tidak pernah bersedia akan kehilangannya. Perginya saat seluruh Sarawak masih mendambakan khidmatnya sebagai pemimpin. Perginya dia saat Sarawak masih bertatih membina pembangunan. Hilangnya dia bagai patahnya sebelah sayap sang kenyalang.

Dia seorang pemimpin yang sangat disenangi, dihormati dan disanjungi. Tidak kira dari bangsa apa dan agama mana di Sarawak, dia terpahat dan disanjung kerana keperibadiannya. Hampir 3 tahun menjadi Ketua Menteri Sarawak dia hampir tidak pernah gagal memenuhi janjinya. Setiap apa yang diusahakannya mendapat sokongan padu rakyat Sarawak.

Dalam menyaksikan curahan-curahan rasa pilu sarawakian di laman facebook aku terfikir siapa yang akan menganti tempatnya selepas ini? Adakah sehebat arwah ataupun hanya seperti pemimpin terdahulu.

Tetapi, bila terbaca sebuah puisi seorang guru Sarawak, bagaikan tersedar sesuatu. Kita memang kehilanganya tetapi kita tidak akan pernah kehilangan semangatnya. Berikut merupakan puisi dari cikgu @Chris Anthony ;

Puisi buat Wira Kenyalang.
Au revoir, Tok Nan. Until we meet again

#KitaSemuaAdalahAdenan

Ada yg bertanya siapa lagi yg akan memperjuangkan hak sang kenyalang?
Fikirku, kita semua adalah Adenan.

Ada yg gusar hatinya, siapa lagi yg membantu sang rakyat marhaen?
Pujukku, kita semua adalah Adenan.

Siapa lagi yg kelak akan mengusir lalang-lalang perkauman?
Kita semua adalah Adenan.

Siapa lagi yg akan menghentikan kerakusan sang pemerkosa hutan Sarawak?
Kita semua adalah Adenan.

Siapa lagi...
Kalau bukan kita.
Ayuh anak bumi kenyalang, teruskan legasi pejuang bumi kenyalang.
Kita semua adalah Adenan.
Agi idup, agi ngelaban.

Cikgu Chris
11012017

Bersemadilah dengan tenang Tok Nan. Janjimu dengan pencipta telah tiba. Kami di sini akan sentiasa mengenang jasa dan budimu pada kami. Semoga ditempatkan dikalangan umatnya yang beriman.