Rabu, 21 Oktober 2015

Urban Design Study ke Singapore


Aku nak cerita pengalaman aku masa pergi Singapore. Boleh aku katakan pengalaman ni satu pengalaman yang 'best experience ever'. Pergi dengan rakan sekelas seramai lebih kurang 30 orang dengan seorang pensyarah pengiring. Kami pergi atas tugasan subjek Urban Design yang memerlukan kami meneroka pembangunan Singapore.

Sebelum pergi ke sana beberapa orang pelajar telah ditugaskan mecari maklumat pengangkutan di sana sebab kami tak ambil travel agent. Kami pergi ke sana dengan pengangkutan awam. Ya, naik MRT, naik bas. Beberapa pelajar lain juga ditugaskan mencari tempat tinggal dan mencari tempat2 yang boleh dilawati di sana.

Boleh dikatakan kita orang ni buat backpakers travel. Kena macam tu la kan. Kita orang banyak tukar public transport jadi kalau bawa luggage macam leceh pulak.

Kami pergi selama 4 hari. Bertolak lebih kurang dalam pukul 9 pagi dari UiTM Shah Alam ke JB Sentral menaiki bas UiTM. Perjalanan lebih kurang 4 jam sebab kami berhenti kat RnR dulu untuk sarapan. Lebih kurang tengah hari kami sampai di JB Sentral. Dari JB Sentral kami naik KTM untuk ke Woodland, Singapore. Tiket train murah je RM3 untuk ke Woodland Train Station. Sebelum naik train kena buat pemeriksaan kastam dan imegresen dulu untuk ke luar negara. Naik train pun tak lama. Tak sempat nak berangan pun dalam train dah sampai.hehe. Tak sampai 5 minit kot.


Ni dari dalam train kat jambatan Singapore - Johor. Kat depan tu dah Singapore.

Sampai kat Woodland Train Station kena buat pemeriksaan lagi untuk masuk Singapore. Kat sini kita kena isi borang warna pink. Maklumat peribadi kita, asal mana, tinggal Singapore kat mana. Aku dah biasa dengan borang ni sebab nak masuk Brunei pun kena guna borang ni jugak.

Dari Woodland Train Station kami naik bas ke Woodland MRT. It's quite far and definitely not within walking distance bak kata Singaporean. Tambang dia dalam 1 dolar lebih je kalau tak silap. Jadi kat sini sediakan la duit kecil siap-siap ye. Dia macam Rapid KL kat Malaysia. Banyak bas yang boleh pergi Woodland MRT. Kalau nak tau bas apa yang boleh pergi sana boleh tengok kat sepanjang pedestrian walkway yang beratap, dia ada tunjuk nombor bas dan tempat yang nak di tuju. Kalau confuse boleh la tanya kat siapa2 yang ada kat sana.


Menarikkan? Kat sini je aku dah kagum dengan cara dia bagi information untuk pengguna.

Okey, sebab kami ramai sangat kami pilih bahagi kepada 3 group untuk naik bas. Kadar ketibaan setiap bas dia tak lama jadi tak ada la kena tunggu lama sangat.

Sampai kat Woodland MRT kami beli ezlink boleh guna untuk naik bas dan naik MRT. Harga ezlink 12 dolar. 5 dolar untuk harga kad dan 7 dolar travel value yang ada kat kad tu. Untuk memudahkan supaya tak topup banyak kali kami topup 20 dolar lagi tambahan. Dengan 27 dolar cukup la untuk perjalanan 4 hari kat Singapore. Bila balik, kad ezling aku ada baki 3 dolar lebih lagi.

Dari Woodland MRT kami pergi check in dulu. Kami tinggal kat kawasan Mackenzie Road dekat dengan Little India MRT. Boleh jalan kaki je dari MRT ke hotel budget yang kita orang tinggal. Tak tau nak describe sebagai hotel atau hostel sebab kena kongsi satu toilet untuk satu aras. Nasib baik budak lelaki kat aras atas sebab kami dah minta asingkan macam tu. Walaupun tempat tu kecil tapi cukup selesa.

Sampai tempat tinggal dah pukul 4 lebih dan pensyarah kita orang bagi rehat sekejap, solat dan mandi. Pukul 6 berkumpul semula untuk keluar makan. Malam tu kita orang pergi ke Kampung Glam. Makan kat sana. Walaupun nama kampung tapi tak nampak rupa kampung pun. Banyak deretan kedai dan kat sini senang sikit nak dapat kedai makan halal. Tapi deretan kedai tu memang unik.

Jalan2 kejap kat Kampung Glam, lepas tu kami pergi ke Clarke Quay. Clarke Quay tempat yang sesuai untuk beriadah kat tepi sungai, menarik, tempat tu jadi tumpuan pelancong pada waktu malam. Tapi ada kawasan tu agak sosial sebab adanya pub terbuka. Boleh bayangkan kita orang lalu kat tengah deretan kedai yang kat atas meja dia ada minuman keras je, orang menyanyi dan menari sambil mabuk. Bagi aku tu pengalaman, pensyarah nak kita orang tau Singapore night kat kawasan tu macamana. Tapi decoration kawasan tu memang cantik. Kat sungai tu ada bot yang boleh bawa kita menyelusuri sungai tapi kami tak naik pun. Just jalan2. Kalau tak silap nak naik bot tu bayar 10 dolar seorang. Ada juga beberapa terowong pejalan kaki kat kawasan ni. Walaupun masa tu dah lewat malam tapi kami still rasa selamat kat tempat tu. Semua orang macam 'mind ur own business'. Dari Clarke Quay juga boleh nampak bangunan Marina Bay Sand yang macam ada kapal kat atas bangunan tu. Satu lagi pub atau casino terbesar Singapore yang ada kat puncak bangunan tu. Malam tu tengok dari jauh je la dulu esoknya baru pergi sana.

Seharian berjalan rasa penat yang teramat sangat. Dengan siangnya seharian berjalan dengan backpack, bahu pun dah sakit. Malam pun jalan jauh jugak tak ingat balik pukul berapa tapi yang pasti memang lewat. Hari pertama di Singapore memang memanfaatkan masa tu sebaiknya. Memang lena la tidur.

Pagi esoknya pukul 8 pagi dah berkumpul. Naik MRT pergi ke China Town MRT. Tempat ni tak kurang menarik. Keluar je dari MRT station terus nampak deretan kedai China Town yang jual barang2 sourvenier.


Ni pintu masuk dan keluar China Town MRT


Ni antara bangunan kat China Town. Walaupun bangunan moden dah semakin banyak tapi bangunan lama masih dikekalkan dan di jaga.

Tujuan kami mula2 ni bukan untuk beli sourvenier tapi untuk pergi Singapore City Gallery. Di sini kami tau pembangunan Singapore dari berpuluh tahun dulu sampai sekarang. Gallery ni semua orang boleh masuk. Sangat menarik dan kita boleh tahu macam2 benda yang kita tak sangka akan ada di Singapore. Contohnya Singapore ada pembangunan bawah tanah sedalam 38 tingkat. Dalam kan?? Apa ada dalam tigkat2 tu? ada tempat Sewers gas pipe, parking kereta, laluan MRT (laluan MRT ni di tingkat lapan bawah tanah tau..) dan Underground Ammunition Facilities tempat diorang simpan aset-aset senjata negara dorang di tingkat paling bawah sekali tingkat 38.

Lepas dari Singapore City Gallery kita orang berpecah kepada beberapa kumpulan untuk menjalankan kajian masing2. Ada yang pergi semula ke kampung Glam dan Clarke Quay, Little India, China Town, Orchid Road dan Bugis Street. Group aku stay kat China Town untuk buat kajian kat sana.

Balik semula ke tempat tinggal petang tu dan malam jalan lagi. Kali ni ke Marina Bay dan Garden by The Bay pulak. Tengok Marina Bay dari dekat dan aku terpukau dengan Garden by the Bay. Cantik sangat dengan lampu yang banyak. Aku, pensyarah dan 4 orang lagi kawan aku sempat naik sky walk dan kebetulan tengah kami kat atas dia mainkan lampu dengan rentak lagu. Boleh nampak pokok2 tu dengan warna yang cantik. Bayaran naik sky walk tu 5 dolar seorang untuk 15 minit. Tapi kami kat atas tu setengah jam kot sebab syok tengok lampu. lepas dari sana kami jalan lagi mengikut persisiran sungai yang dekat dengan Merlion Park. Tapi malam tu tak sampai sana sebab semua orang dah penat.


Marina Bay dari dekat.


Ni pula Garden By The Bay. Jambatan kat atas tu la sky walk.

Hari ketiga pula, pukul 8 pagi kami dah gerak untuk pergi ke Merlion Park. Aku tak tau dah kami turun kat stesen MRT mana sebab rasa jalan jauh sangat. Ikut je la lecturer nak bawa laluan mana pun. Sepanjang perjalanan tu banyak benda menarik yang aku nampak.


Ni salah satunya.


Ni dia Merlion Park.

Merlion Park ni dekat je dengan Marina Bay dan boleh nampak juga bangunan yang pelbagai bentuk di sekeliling Merlion Park tu. Kami kat Merlion Park sampai tengah hari je sebab panas sangat.

Petang dan malam kami mula dengan tugas masing-masing sampai selesai sebab esoknya dah nak balik.

Hari ke empat bertolak balik. Balik ni kami naik bas pula. Dari Mackanzie Road naik bas pergi ke Bugis Street dan dari Bugis Street (Queen Street, Bugis) naik bas Singapore-Johor Ekspress. Bas ni orang Singapore kata old school sikit. Dia tak boleh guna kad ezlink. Kena bayar cash tapi 3.30 dolar je.

Bas tu akan berhenti kat Woodland Checkpoint untuk pemeriksaan kastam dan imegresen bila dah selesai semua tu kena naik bas semula untuk sampai ke Larkin.

Ada juga plihan bas lain seperti Causeway Link dan SBS Transit 170. Dua2 ni boleh guna ezlink dan mungkin lagi selesa. Aku tak tau. Sebab Singapore-Johor Ekspress pada aku sangat tak selesa. Tak semua orang boleh dapat tempat duduk. Ada beberapa kawan aku yang tak dapat tempat duduk jadi terpaksa berdiri sepanjang perjalanan. Dari Queen Street, Bugis ke Woodland Checkpoint boleh tahan jauh. Kesian kawan2 aku yang lain. nak tau bas yang boleh guna cek link ni.

Sepanjang perjalanan 4 hari ni aku tabik la kat lecturer aku. Lecturer perempuan. Dia kata last dia pergi Singapore 10 tahun lepas dan dia boleh ingat lagi jalan2 kat sana. Lepas tu dia punya la semangat berjalan tu. Kami semua dah merungut penat tapi dia still boleh jalan. Umur dia dah 60'an tapi tenaga dia lebih kuat dari kami yang muda ni. Sepanjang 4 hari di Singapore memang tak banyak rehat. Masa rehat pun waktu tidur je la. Dia kata dia memang dah amalkan makanan sihat dari muda. Tak ambil apa2 supliment tapi kurang makan nasi dan lebihkan makan sayur. Dia juga kata memang dari muda dia banyak berjalan. Dia bukan je sihat tapi nampak awet muda lagi.

Jumaat, 16 Oktober 2015

Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU) di Puncak Alam

Kerja-kerja pembinaan FSPU di Puncak Alam dah sampai ke kemuncaknya. Semua perabot-perabot dah di susun di dalam studio masing-masing, Lanskap dah diperkemaskan. Jadi awal sem depan pelajar-pelajar Degree terutama bagi studio base akan mulakan semester baru di Puncak Alam.

Tempat baru dan suasana baru. Pasti menarik kan?

Mungkin agak sukar sikit bagi pelajar-pelajar lama terutama NR sebab kena cari rumah baru. Kolej pun terhad je. Tak semua pelajar boleh dapat kolej.

Pelajar pun tak dekat dah dengan commercial area macam PKNS, PAS, Seksyen 7. Mingkin ni okay sikit kot sebab pelajar boleh jimat tak selalu keluar. Tapi ada kekurangan juga sebab pelajar FSPU ni la yang selalu memenuhkan kedai printing kat seksyen 7. Kalau dah pindah P.alam kat mana la pelajar nak dapat pilihan printing dan plotter yang murah.

Untuk sem depan aku tak risau sangat sebab aku dah mula praktikal. Mungkin ready untuk sem 8 nanti je la. Jadi bagi yang nak mula kuliah kat Palam sem depan good luck la ye...

Ni ada sedikit gambar kampus FSPU di Puncak Alam..













Ahad, 11 Oktober 2015

Daerah Lawas Sarawak

Daerah Lawas pada masa kini semakin dikenali dikalangan masyarakat Sarawak dan juga dikalangan masyarakat yang tinggal di Semenanjung..Kalau dulu penduduk Kuching sendiri ada yang tak tahu kewujudan Daerah lawas. Daerah Lawas sebuah daerah yang unik, kedudukannya yang terpisah dengan negeri Sarawak lainnya menjadikan identiti Sarawak di Daerah Lawas telah bercampur aduk. Jika di lihat pada peta Lawas, kedudukan Lawas berada di tengah-tengah antara Negara Brunei Darulsalam dan negeri Sabah..

Dialek

Kerana kedudukan inilah dialek penduduk Daerah Lawas jauh berbeza dengan dialek penduduk di Kuching. Majoriti penduduk Daerah Lawas menggunakan bahasa Kedayan, bahasa Melayu baku ataupun bahasa etnik lain di Sarawak seperti bahasa Iban, Murut atau Lun Bawang. Dialek di Daerah Lawas juga banyak dipengaruhi oleh negara jiran Brunei atau negeri Sabah. Di mana terdapat penduduk Daerah Lawas menggunakan bahasa Melayu Brunei sebagai pertuturan seharian.

Bangsa dan agama

Begitu juga dengan bangsa di Daerah Lawas, terdapat bangsa Kedayan, Melayu Brunei, Lun Bawang, Iban dan Murut. Terdapat juga penduduk berbangsa Cina di Daerah Lawas tetapi penduduk berbangsa India sangat jarang atau mungkin tidak ada di Daerah Lawas . Agama majoriti di Daerah Lawas adalah Islam dan Kristian.

Makanan

Keunikan Daerah Lawas pula dari segi makanan adalah produk laut iaitu ikan tamban yang di salai..ia di panggil Tahai di kalangan masyarakat setempat. Ikan Tahai ni boleh di buat sambal atau di buat sup. Kalau nak makan macam tu saja pun sedap.


Selain ikan tahai, Lawas juga terkenal sebagai pengeluar buah epal, ini kerana terdapat kawasan di Daerah Lawas merupakan kawasan tanah tinggi. Tanah tinggi Ba'kalalan kawasan tanah tinggi yang didiami oleh masyarakat Lun Bawang. Bukan saja sebagai kawasan pengeluar epal, Ba'kalalan juga merupakan pengeluar beras dan garam bukit. Beras yang di tanam di Ba'kalalan merupakan antara beras yang terbaik dan terenak. Kalau orang Lawas panggil 'nyaman'. Tetapi mungkin akibat dari faktor jarak perjalanan harga beras yang di tanam di Bakalalan agak mahal. Lebih kurang dalam RM 25 hingga RM 35 bagi satu gantang (harga bagi 3-4 tahun lepas mungkin meningkat mengikut peningkatan kos hidup sekarang). Satu gantang beras bersamaan lebih kurang 3.6kg. Tapi boleh dikatakan berbaloi dengan keenakan beras tersebut.

Ba'kalalan

Ba'kalalan merupakan kawasan pendalaman bagi Daerah Lawas. Tak ada jalan raya yang boleh sampai terus ke Ba'kalalan, cuma ada laluan balak dan perkhidmatan kapal terbang kecil yang beroperasi 2 kali seminggu. Namun keindahan alam semulajadi Ba'kalalan tak dapat dinafikan dengan udara tanah tinggi yang sejuk, persekitaran yang hijau dan penduduk yang ramah ia menjadikan Ba'kalalan sebuah tempat yang sesuai untuk pencinta alam semulajadi.

Aku sendiri sebagai penduduk asal Daerah Lawas tak pernah sampai ke Ba'kalalan kerana perjalanan yang agak mencabar bukan saja mencabar kerana tak ada jalan raya yang sempurna tapi boleh dikatakan mencabar juga bila naik Twin Otter. Mungkin suatu hari nanti aku akan sampai juga kat sana. Sangat berharap ada yang sudi teman aku ke sana. hehe


Pekan di Daerah Lawas

Di Daerah lawas terdapat 3 pekan utama yang menjadi tumpuan penduduk selain Bandar Lawas. Pekan tersebut ialah pekan Trusan, pekan Trusan ini adalah antara pintu masuk untuk sampai ke Daerah Lawas. Ia bersempadanan dengan Daerah Temburong, Brunei. Pekan kedua pula ialah pekan Merapok, pekan Merapok juga merupakan pintu masuk ke Daerah Lawas dengan jarak perjalanan sejauh 36km dari Merapok ke Bandar Lawas. Pekan Merapok menghubungkan Daerah Lawas dengan Daerah Sipitang, Sabah. Pekan ketiga pula ialah pekan Sundar. Pekan ini lebih dekat dengan pekan Trusan.


Khamis, 8 Oktober 2015

Kos Perancang Bandar merupakan kos paling susah di Malaysia??

Mesti ada yang takut atau risau bila dikatakan kursus Perancang Bandar merupakan kursus paling susah ditawarkan di universiti Malaysia. Tapi bila dah dapat kursus ni kenapa tidak kuatkan hati untuk mencuba?? Sebenarnya bukan susah manapun cuma kursus ni perlukan komitmen yang tinggi, bersedia untuk berjaga malam, stay di studio atau keluar buat lawatan tapak.

Tanggungjawab Perancang bandar ni besar, mungkin sebab tu ia merupakan kursus paling susah tapi kalau dah minat semuanya akan jadi biasa. Lagipun setiap apa yang dipelajari dari kursus ni apa yang kita boleh lihat hari-hari seperti hal berkaitan perumahan, pengangkutan, kawasan komersil, kawasan industri, tanah dan banyak lagi.

Sepanjang aku belajar dalam kursus ni aku selalu berpegang pada kata-kata "Jangan mudah mengatakan kalah..Jalani dengan tenang dan semua masalah akan ada titik tamat..berserah pada Allah untuk mengaturkan yang terbaik buat kita..tapi jangan pernah berhenti untuk berusaha.."







Pengangkutan Awam di Malaysia : Bus Rapid Transit (BRT)

Pengangkutan awam di Malaysia sekarang ni sudah semakin maju. Mungkin sudah dapat bersaing dengan lebih baik dengan negara luar. Okey , point sekarang ni bukan nak cerita pengangkutan negara mana lagi maju tapi aku nak cerita pasal pengangkutan awam yang aku baru naik kelmarin. Ya, kelmarin aku dan classmate aku jalani satu tugasan bersama pensyarah aku untuk subject Urban Transport..kami naik pengangkutan awam dari Padang Jawa untuk menaiki tren KTM ke Setia Alam, naik BRT ke USJ 7, naik bas Selangorku ke Sunway Prade dan naik Tren KTM Subang Jaya balik semula ke Padang Jawa.

Aku tak nak cerita pasal tren KTM Padang Jawa sebab sama je dengan tren-tren lain tapi aku nak cerita pasal BRT.

BRT tau bukan MRT, mungkin ramai yang tau pasal MRT sebab ia lebih banyak di war-warkan tapi BRT tak kurang menarik. Satu pengangkutan yang masih baru di Malaysia. BRT stand for Bus Rapid Transit buat masa ni BRT cuma ada kat kawasan Sunway dan cuma melibatkan beberapa stesen seperti;

Sunway-Setia Alam - Mentari - Sunway Lagoon - Sun Med - SunU Monash - South Quay - USJ 7


BRT beroperasi selama 18 jam sehari dan sasaran perkhidmatan ni kepada 500,000 penduduk , pelajar dan pekerja yang berada di sekitar Sunway dan juga kepada pengunjung dan pelancong yang datang ke Sunway Lagoon dan Sunway Resort City. Ia bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalulintas yang sering berlaku di kawasan bandar Sunway akibat dari peningkatan populasi penduduk dan aktiviti pelancongan di kawasan Sunway. Setiap stesen BRT ni juga sangat cantik dan selesa di mana terdapat kemudahan parking bertingkat, Surau, tandas, eskalator dan lain-lain. Stesen ni juga sangat sistematik bagi pengguna OKU di mana mereka boleh menggunakan perkhidmatan ni dengan mudah.

BRT boleh dicapai melalui stesen KTM Setia Alam hanya berjalan kaki dengan menaiki jejantas dan sampai ke stesen BRT Sunway-Setia Alam. BRT ini akan melalui 7 stesen dan berakhir di USJ 7 Di USJ 7 akan ada juga satu stesen LRT tapi stesen tu masih dalam pembinaan. Buat masa sekarang boleh naik bas Selangorku di tingkat bawah Stesen USJ 7 yang boleh menghubungkan dengan KTM Subang Jaya dan bas Selangorku ni satu perkhidmatan bas percuma yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Nanti aku akan cerita mengenai bas Selangorku, sekarang ni aku teruja nak cerita pasal BRT. Macam yang aku tulis tadi BRT ni masih baru di Malaysia, perkhidmatan BRT ni hampir sama dengan tren di mana terdapat stesen dan laluan sendiri. Cuma bezanya BRT merupakan perkhidmatan bas. Mungkin pelik bila bas ada laluan sendiri tapi memang betul, ia merupakan laluan bertingkat yang hanya dilalui oleh BRT.

Bila menggunakan perkhidmatan BRT rasa macam bukan berada di Malaysia, rasa macam berada di Singapore atau negara maju lain. Sebab kita boleh nampak stesen dan bas yang baru dan bersih, perkhidmatan yang lancar dengan jarak ketibaan bas yang kerap buat penumpang rasa selesa menggunakan perkhidmatan ni. Pengguna tak perlu menunggu lama untuk satu-satu bas kerana bas akan tiba setiap 5 minit.

Mungkin sistem ni akan turut digunapakai di tempat-tempat lain sebab bagi aku ia sangat sistematik, dengan adanya laluan seperti ni bas tak payah la beratur sekali dalam kesesakan lalulintas sebab ada bas saja di laluan tu dan laluan yang digunakan oleh BRT ni juga mementingkan pengguna di mana laluan BRT ni melalui beberapa college n universiti di sekitar Sunway, bandar Sunway, Sunway Lagoon, Hospital Sunway, pasaraya seperti Giant dan beberapa kawasan petempataan.

Bawah ni ada beberapa gambar BRT di Sunway tapi ni gambar dari encik google yang aku cilok. Aku tak sempat nak ambil gambar kelmarin, nak tau perjalanan BRT, kadar tambang BRT dan sebagainya boleh search di web http://www.myrapid.com.my